Monday, January 24, 2011

Wawasan 2020.

Wawasan 2020 telah mula dicetuskan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu Pelancaran Majlis Perdagangan Malaysia pada 28 Februari 1991. Perdana Menteri telah membentangkan kertas kerja bertajuk “Malaysia-Melangkah Ke Hadapan” yang mengandungi pemikiran dan rangka kerja mengenai matlamat Malaysia menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020 atau lebih dikenali dengan Wawasan 2020. Ia bukanlah satu dasar malah adalah tindakbalas kepada perkembangan ekonomi, sosial dan politik antarabangsa yang menjadi cabaran hebat kepada negara. Wawasan ini adalah sebagai garis panduan dan rangka kerja kepada negara untuk meniti perjalanan menjadi sebuah negara yang maju. Kemajuan yang dimaksudkan bukan terhad kepada bidang ekonomi sahaja malah merangkumi segala aspek kehidupan seperti ekonomi, politik, sosial, kerohanian, kejiwaan dan kebudayaan. Ia amat penting bagi setiap rakyat Malaysia pahami setiap cabaran yang terkandung dalam wawasan 2020.

Wawasan 2020 mempunyai 9 cabaran utama yang merangkumi elemen kemanusiaan, teknologi dan ekonomi. Antara 9 cabaran tersebut adalah:-

  1. Membentuk sebuah Negara bangsa yang bersatu padu serta menyanjung masa hadapan yang diperkongsi bersama.
  2. Melahirkan sebuah masyarakat Malaysia yang bebas, teguh, bangga akan keadaannya kini dan cukup tangkas untuk menghadapi segala macam rintangan.
  3. Membentuk dan memperkembang sebuah masyarakat demokratis yang matang, unggul, berasaskan muafakat dan musyarawah dan dapat pula dicontohi oleh Negara-negara membangun lainnya.
  4. Membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya, dengan para warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh dan ditunjangi oleh budi pekerti yang luhur.
  5. Membentuk sebuah masyarakat matang yang bersifat liberal lagi toleran, tanpa mengira keturunan mahupun kepercayaannya, bebas mangamalkan dan melaksananakan adat resam, kebudayaan serta kepercayaan agamanya masing-masing.
  6. Membentuk sebuah masyarakat yang bersikat sains serta progresif, berdaya cipta dan berpandangan jauh, yang bukan sahaja dapat memanfaatkan teknologi kini tetapi juga menjadi penyumbang dalam pembentukan peradaban sains dan teknologi pada masa depan.
  7. Membentuk sebuah masyarakat yang berbudi dan berbudaya penyayang, sebuah system social yang lebih mementingkan masyarakat daripada diri sendiri.
  8. Membentuk sebuah masyarakat yang adil ekonominya, pengagihan kekayaan Negara secara adil lagi saksama, dengan kemahuan ekonominya dinikmati bersama oleh setiap rakyat, tidak akan terbentuk selagi terdapat penentuan fungsi ekonomi berdasarkan kaum dan pemusatan kemunduran ekonomi kepada kelompok-kelompok kaum tertentu.
  9. Membentuk sebuah masyarakat yang makmur dengan ekonomi yang mampu menghadapi persaingan, bersifat dinamis, tangkas dan mempunyai daya ketahanan.

5 cabaran utama akan dibincangkan untuk melihat sejuahmana usaha kerajaan dalam merealisasikan aspirasi wawasan 2020.

Cabaran pertama: Membentuk sebuah Negara bangsa yang bersatu padu serta menyanjung masa hadapan yang diperkongsi bersama.

Isu perpaduan kini telah menjadi satu isu nasioanl dalam membentuk sesebuah negara yang aman dan maju. Perpaduan di kalangan rakyat perlu selaras dengan kemajuan teknologi dan juga ekonomi di Malaysia. Perpaduan sesama kaum jika tidak diimbangi dengan betul boleh menyebabkan satu lagi isu pertentangan kaum seperti yang berlaku pada 13 Mei 1969. Bagi mencapai matlamat wawasan 2020, perpaduan kaum sememangnya penting dan mustahak. Ini kerana melalui perpaduan barulah ada persefahaman aman dan damai. Dan bila terdapat aman dan damai antara rakyat dan penduduk setempat barulah program kemajuan boleh berjalan dengan lancer.

Bagi mengeratkan perpaduan sesama kaum, kerajaan telah memperkenalkan konsep sekolah wawasan. Ini bagi membentuk sistem persekolahan yang bersifat kolektif dan berciri keharmonian kaum. Penekanan diutamakan kepada pelajar-pelajar sekolah rendah kerana mereka ini kanak-kanak dan lebih mudah dilenturkan.

Sekolah wawasan merupakan sebuah sekolah rendah yang mempunyai 3 kaum atau bangsa belajar dalam satu kawasan yang sama. Di bawah konsep ini, terdapat 3 buah sekolah iaitu sekolah cina , melayu dan juga india dalam satu kawasan sekolah dan juga dihubungkan melalui sebuah jambatan antara satu sekolah dengan sekolah yang lain. Pelajar sekolah wawasan ini berkongsi padang dan juga kantin bagi membolehkan mereka berinteraksi sesama lain sejurus itu dapat melahirkan masyarakat sekolah yang majmuk. Selain itu ia juga dapat melahirkan generasi yang mempunyai sifat tolenrasi dan persafahaman tinggi sesame kaum bagi mewujudkan masyarakat yang majmuk dan bersatu padu.

Kini di Malaysia hanya terdapat beberapa 5 buah kompleks sekolah wawasan yang telah dibangunkan. Antaranya adalah:-

1) Kompleks Sekolah Wawasan Pekan Baru, Parit Buntar, Perak

2) Kompleks Sekolah Wawasan Taman Aman, Alor Setar, Kedah

3) Kompleks Sekolah Wawasan Tasik Permai, Pulau Pinang

4) Kompleks Sekolah Wawasan USJ 15, Subang Jaya, Selangor

5) Kompleks Sekolah Wawasan Pundut, Seri Manjung, Perak

Dasar wawasan negara juga bertujuan mengeratkan perpaduan sesama kaum. Dasar ini adalah lanjutan daripada Dasar Ekonomi Baru (1971-1990) yang bertujuan untuk mencapai perpaduan rakyat melalui strategi penyusunan rakyat dan pembasmian kemiskinan. Bagi menjayakan dasar ini, kerajaan telah menetapkan dasar pembangunan negara sebagai fasa pertama menuju ke Dasar wawasan negara. Melalui dasar pembangunan negara dapat dilihat bahawa penekanan dalam aspek kesaksamaan antara kaum telah membawa darjah perpaduan yang lebih tinggi di kalangan rakyat Malaysia. Ini kerana dalam dasar ini peningkatan taraf sosio-ekonomi mereka yang kurang berada, khasnya bumiputera telah memberi kesan yang positif. Ini tidak bermakna golongan bukan bumiputera diabaikan. Kenaikan ekonomi kaum bumiputera membawa juga kepada kenaikan ekonomi kaum cina dan juga india. Sebagai contoh, pendapatan seisi rumah sebulan bagi kaum cina telah meningkat daripada RM 370 pada tahun 1970 kepada kepada RM 3737 pada tahun 2007. Dan kaun india pula dari RM 310 kepada RM 2896 bagi jangkamasa yang sama. Ini telah menunjukkan Dasar pembangunan negara yang menitikberatkan kesaksamaan antara kaum telah membawa kepada darjah perpaduan yang tinggi sesama rakyat.

Kerajaan kini juga telah memperkenalkan gagasan 1 Malaysia di mana matlamatnya utamanya adalah mencapai perpaduan nasional. Ini bermaksud 1 Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai-nilai penting yang seharusnya menjadi amalam setiap rakyat. Gagasan 1 Malaysia ini juga adalah sebagai pra-syarat supaya aspirasi negara iaitu wawasan 2020 dapat di capai jika ia dapat dipupuk di kalangan semua lapisan masyarakat. 1 Malaysia menghargai dan juga menghormati identity-identiti etnik setiap kaum di Malaysia dan menganggapnya sebagai satu aset atau kelebihan yang patut dibanggakan. Sikap penerimaan banyak dipupuk dalam gagasan 1 Malaysia di mana sesuatu kaum menerima keunikan kaum yang lain agar dapat hidup dalam keadaan saling hormat-menghormati dalam sebuah negara. Untuk mencapai matlamat tersebut, keadilan menjadi asas di mana keadilan setiap kaum di Malaysia tidak akan dipinggirkan. Ini berasaskan kepada taraf-taraf setiap kaum yang berada pada tahap yang berbeza-beza. Seperti mana yang telah disebut sebelum ini, untuk meneruskan agenda pembangunan negara perkara yang penting yang perlu di semai di setiap rakyat adalah perpaduan.

Program khidmat negara juga merupakan salah satu inisiatif kerajaan dalam memupuk semangat perpaduan di kalangan belia negara. Ia ditubuhkan pada 16 Februari 2004 bertujuan untuk meningkatkan semangat patriotism selain dapat juga membentuk golongan belia yang bersatu padu tidak kira bangsa atau agama. Ini kerana golongan belia merupakan aset negara yang akan menerajui negara pada masa akan datang. Terdapat banyak kaedah latihan yang dijalankan semasa program dijalankan untuk mencapai matlamat penubuhannya antara nya adalah modul fizikal, modul kenegaraan, komponen korohanian dan juga komponen kebudayaan. Di sini peserta kem di terapkan nilai-nilai kenegaraan, semangat berkerjasama dan yang paling penting semangat perpaduan tanpa mengira bangsa. Sejak penubuhannya, telah terdapat sejumlah 80 kem PLKN yang terletak di seluruh Malaysia di mana pesertanya terdiri dari pelajar-pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia.

Perpaduan melalui kesukanan juga memainkan peranan penting dalam mencapai matlamat wawasan 2020 berkenaan isu perpaduan. Setiap tahun peruntukan yang besar telah kerajaan sediakan untuk sukan setiap kali belanjawan atau baget negara. Kerajaan telah menghabiskan berjutaan ringgit setiap tahun bagi memartabatkan sukan di Malaysia. Berbagai-bagai usaha telah kerajaan lakukan seperti membentuk klinik-klinik sukan, program pembangunan sukan dan juga membina sekolah-sekolah sukan. Sekolah sukan pertama di Malaysia adalah Sekolah Sukan Bukit Jalil dan terletak di Kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Ia dibuka pada tahun 1996 bagi member peluang kepada atlet-atlet di bangku sekolah supaya mendapat latihan yang lebih bersistematik dan menerima pendekatan sukan yang saintifik sepanjang tahun persekolahan mereka. Bersukan selain dapat menyihatkan tubuh badan, ia juga dapat menerapkan semangat perpaduan di kalangan rakyat. Ini kerana sukan memupuk semangat kerjasama dalam satu pasukan yang mana biasanya terdiri dari pelbagai kaum. Sifat perkauman tidak lagi timbul dalam hal persukanan kerana mereka biasanya akan bertindak sebagai satu pasukan iaitu pasukan Malaysia sebagai contoh. Rakyat Malaysia juga tidak mengira kaum akan menyokong atlet yang mewakili Malaysia tidak kira atlet itu adalah Cina, Melayu mahupun India. Di sini dapat dilihat bahawa peranan sukan adalah amat penting dalam memupuk semangat perpaduan sesama rakyat.

Jika dilihat dari contoh-contoh yang telah diberi, boleh disimpulkan bahawa kerajaan telah memainkan peranan yang penting dalam merealisasikan cabaran pertama dalam wawasan 2020. Dengan itu tidak mustahil cabaran wawasan 2020 yang keenam dapat dicapai pada masanya. Tetapi ia tidak akan dapat dicapai sekirianya rakyat sendiri tidak mahu terlibat sama dengan usaha kerajaan. Ini kerana isu perpaduan datang dari jiwa seorang rakyat itu sendiri.

Cabaran keenam: Membentuk sebuah masyarakat yang bersikat sains serta progresif, berdaya cipta dan berpandangan jauh, yang bukan sahaja dapat memanfaatkan teknologi kini tetapi juga menjadi penyumbang dalam pembentukan peradaban sains dan teknologi pada masa depan.

Bagi merealisasikan cabaran wawasan 2020 yang keenam, pihak kerajaan perlu memastikan rakyat secara keseluruhannya celik dari segi sains dan teknologi. Di dalam cabaran ini, kerajaan berhasrat untuk membentuk masyarakat Malaysia yang berasaskan sains yang progresif, berdaya cipta dan berpandangan jauh. Selain daripada itu juga, kerajaan bukan sahaja berhasrat untuk melahirkan masyarakat yang bukan sahaja dapat memanfaatkan teknologi terkini, malah dapat memberi sumbangan kepada pembangunan teknologi pada masa depan. Negara tidak boleh ketinggalan dalam dunia teknologi dan perlu sentiasa berfikiran terbuka untuk memberi laluan kepada rakyat untuk menerokai teknologi terkini yang sentiasa berkembang dari hari ke hari. Pelbagai inisiatif telah dijalankan kerajaan untuk merapatkan jurang digital di negara kita.

Program angkawasan negara telah bermula pada tahun 2006 bagi menghantar angkawasan dari negara Malaysia ke angkasa lepas. Terdapat berbagai tapisan yang perlu dilalui bagi seseorang untuk menjadi seorang angkasawan. Akhirnya pada 4 September 2007, Malaysia telah melahirkan angkawasannya yang pertama. Dr Sheikh Muszaphar Shukor telah dipilih untuk menjadi angkasawan pertama negara. Bagi memupuk minat generasi muda untuk mempelajari dengan lebih mendalam mengenai sains dan teknologi, Dr Sheikh Muszaphar Shukor juga bertindak menjadi duta ke sekolah-sekolah bagi mencerita pengalaman beliau semasa di angkasa bagi menarik minat generasi muda. Dengan penglibatan generasi muda tidak mustahil cabaran wawasan2020 yang keenam dapat dicapai dan lebih ramai lagi saintis muda dapat dilahirkan.

Selain itu program internet desa yang ditubuhkan pada bulan Mac tahun 2000 juga bertujuan untuk mengurangkan jurang digital rakyat terutama penduduk luar Bandar. Ini selaras dengan cabaran keenam wawasan 2020 yang menerapkan mengharapkan masyarakat menjadi penyumbang kepada tamadun saintifik dan teknologi pada masa akan datang. Dalam zaman yang semakin berkembang pesat ini, kerajaan tidak mahu terdapat masyarakat yang terpinggir dari segi penggunaan teknologi. Oleh yang demikian bagi merapatkan jurang digital penduduk luar bandar, kerajaan telah membelanjakan jutaan ringgit untuk merealisasikan program internet desa ini.

Dasar perindustrian juga adalah penyumbang kepada cabaran wawasan2020 yang keenam ini. Program perindustrian ini telah lama dijalankan oleh kerajaan sejak tahun 1950-an dan 1960-an di mana kerajaan mula menitikberatkan kepelbagaian ekonomi. Ini berterusan pada tahun 1970-an dan tahun 1980-an di mana pertumbuhan industri untuk pekerjaan dan industry berat mula diutamakan. Akan tetapi terdapat kelemahan pada perkembangan industri tahun-tahun tersebut yang menyebabkan kerajaan melancarkan Pelan Induk Perindustrian. Tujuan utama PIP adalah untuk menggubal objektif pembangunan perindustrian secara am dalam mengenalpasti strategi-strategi untuk sector-sektor kecil yang berpotensi untuk tumbuh dengan pesat. Terdapat 3 objektif utama PIP dan salah satunya adalah meninggikan tahap penyelidikan dan pembangunan teknologi tempatan sebagai asas bagi Malaysia menjadi sebuah negara perindustrian. Untuk menjadi sebuah negara yang maju dari segi ekonomi, penggunaan teknologi-teknologi terkini perlu diterapkan dalam industri perindustrian negara. Ini kerana dengan teknologi perindustrian terkini, Malaysia dapat menghasilkan pengeluaran yang lebih bermutu sejurus dapat bersaing dengan pasaran luar negara. PIP diharap dapat meletakkan asas yang kukuh supaya negara dapat menjadi sebuah negara perindustrian yang maju. Ini sejajar dengan cabaran keenam wawasan 2020 bagi menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju.

Terdapat banyak usaha kerajaan bagi tujuan merealisasikan cabaran wawasan 2020 yang keenam. Program-program lain seperti “ Satu Rumah Satu Komputer” dan juga ”Schoolnet” mempunyai tujuan sama juga iaitu memberi pendedahan kepada semua lapisan masyarakat tidak kira bandar atau luar bandar kepada teknologi terkini. Ini juga dapat dilihat daripada dasar-dasar kerajaan dan program angkasawan yang menarik minat belia untuk mengetahui lebih mendalam mengenai sains dan teknologi. Dengan itu, cabaran wawasan 2020 yang keenam tentu dapat di laksanakan bagi menjadikan Malaysia sebuah negara yang berdaya saing dalam bidang sains dan teknologi.

Jika dilihat dari kesemua 5 cabaran utama wawasan 2020, ia seolah-oleh merupakan wawasan ekonomi semata-mata kerana ia lebih mementingkan persoalan pembangunan ekonomi untuk Malaysia menjadi negara perindustrian. Walaubagaimanapun, ia tetap menyentuh perkara-perkara berkaitan aspek sosial dan cara hidup seperti pembentukan dan keperibadian bangsa, moral dan etika. Matlamat pencapaian aspirasi wawasan 2020 sememangnya mencabar dan memerlukan kerjasama dari semua pihak. Penting bagi setiap rakyat untuk mengambil langkah-langkah tertentu bagi memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang maju dan makmur. Secara keseluruhannya negara telah mengambil banyak langkah-langkah penting bagi menuju 2020. Tidak mustahil bagi Malaysia untuk menjadi sebuah negara yang maju pada tahun 2020 dengan izin Allah SWT. Insyallah.